Rabu, 10 Jun 2015

BIOGRAFI TUAN GURU HJ. ISMAIL BIN OMAR ( BABA EIL )




Kelahiran, Keluarga dan Pendidikan. 

Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Spanjang iaitu panggilan bagi seorang Tuan Guru. Dilahirkan di Kampung Dusun Spanjang Daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga sebanyak 3 beradik.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Spanjang. Kemudian menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) pada ketika usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan Almarhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafser, Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. 

Manakala tiba musim cuti semester Baba Eil pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang. Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 tahun. 

Ketika di sana beliau bukan setakat mengajar kepada pelajar tetapi mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (21 tahun) dan Masjid Patani (22 tahun). 

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah Binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir). Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahayamata ( 2 lelaki dan 3 perempuan ).

Selepas itu ketika berumur 31 tahun, beliau telah pergi ke Mekah dan bermuqim di sana selama 7 bulan.. Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan Bandar, Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. 

Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Spanjang hinggalah ke hari ini. Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelusuk dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima bayaran. Sehingga kini, terdapat lebih kurang 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. 

Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).. 

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala.. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan. Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab. Antara kitab karangan Baba Eil ialah “Mizan ad-Durari”, “Hikam Jawi”, “Mawaiz al-Iman”, dan karangan dalam bidang tafsir,hadis dan Qawaid. Selain itu,Baba Eil telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathoni. 

Antara kata-kata dan pesanan Baba Eil ialah:

kita sebagai{tolibul ilmi} penuntut ilmu, haruslah memperkemaskan ilmu akidah kita..Jauhilah kita dari iqtiqod akidah yang salah yakni iqtiqod yang selain dari iqtiqod ahli sunnah waljamaah..akidah kita ahli sunnah waljamaah,sesungguhnya ALLAH itu tidak menyamai sekalian makluk.. 

yakni ALLAH yang menciptakan sesuatu,dan akal kita yang waras mengatakan bahawa ALLAH tidak berhajat pada sesuatu,tetapi setiap sesuatu yang berhajat pada ALLAH. 

ALLAH itu tidak beranggota{tidak mempunyai tangan,mata dll} 

ALLAH tidak mempunyai mata tetapi ALLAH maha melihat,ALLAH tidak mempunyai tangan,tetapi ALLAH maha berkuasa atas setiap sesuatu.. 

firman ALLAH subhanahuwataala, 
dalilnya laisa kamislihi syai,wahuassamaiulbasir 
yakni ALLAH itu tidak menyerupai sekalian makhlu{tidak beranggota dan sebagainya}tetapi ALLAH maha melihat dan maha berkuasa atas setiap sesuatu.



Sumber:
http://pondoktauhid.blogspot.com/2013/08/biografi-tuan-guru-hj-ismail-bin-omar.html







Isnin, 8 Jun 2015

Tuan Syeikh Haji Muhammad Lip Bin Haji Hasan, penulis kitab Tanbih Al Ghofilin 1904 - 1989)





Permata Muar (Al Fatihah utk Almarhum Tuan Syeikh Haji Muhammad Lip Bin Haji Hasan, penulis kitab Tanbih Al Ghofilin 1904 - 1989)
Nama lengkap dari sebelah ayah ialah Haji Muhammad Lip bin Haji Hasan bin Arsyad bin Mahmud bin Abu Bakar. Hanya sampai pada nama Abu Bakar saja bahan yang bertulis yang saya peroleh dari kewarisan Pondok Ribath, Parit Perupok. Selanjutnya dicatatkan bahawa mereka berasal dari Melaka dan lebih jauh lagi berasal dari aliran darah Majapahit di tanah Jawa. Di sebelah ibu pula, ayahnya ialah Haji Hasan bin Haji Arsyad kahwin dengan Bainah (Mak Ulang) binti Ibrahim Latis. Ibrahim Latis kahwin dengan Puteh (Cepat). Ayah Puteh dikenali sebagai Panglima Hitam (Panglima Laut). Digelar begitu kerana beliau adalah seorang panglima yang mengawal laut dan pantai sekitar Parit Perupok, Parit Tok Akil, Parit Jong, Parit Sakai, dan lain-lain sekitarnya.
Haji Muhammad Lip lahir di Parit Perupok, Muar, 1322 H/1904 M, wafat 1409 H/1989 M. Mendapat pendidikan Islam dari ayah dan ibunya sejak kecil dan pernah masuk Madrasah Al-Attas di Johor Bahru. Muhammad Lip belajar pula di Madrasah Parit Raja, Muar sehinggalah umurnya 24 tahun. Selanjutnya Haji Muhammad Lip belajar daripada Tuan Guru Haji Abdur Rahman bin Taqin di Air Molek, Melaka. Beliau belajar di Air Molek Melaka itu mulai tahun 1925 M hingga tahun 1930 M.
Dalam masa belajar itu Tuan Haji Muhammad Lip adalah sebagai Ketua Thala'ah. Mereka di bawah bimbingannya yang menjadi tokoh-tokoh yang berperanan ialah Tuan Guru Haji Abdul Wahid bin Utsman, Sungai Udang, Melaka, Tuan Haji Husein, Umbai, Tuan Kadi Haji Abdullah, Durian Tunggal, Tuan Kadi Haji 'bdullah, Duyung, Melaka, Tuan Kadi Hakim, Johor, dan Tuan Haji Ahmad, Tengkera, Melaka.
Selanjutnya Haji Muhammad Lip bersama-sama dengan Haji Rahmat Khan belajar pula dengan Tuan Guru Haji Abdul Lathif Nuruddin Tambi. Tuan Guru Haji Abdul Lathif adalah seorang ulama besar yang mendapat pendidikan di Mekah. Beliau termasuk salah seorang murid kepada Syeikh Ahmad al-Fathani. Di antara ilmu yang dipelajari dari Haji Abdul Lathif ialah nahu, sharaf (dan lain-lain yang dinamakan ilmu alat), usuluddin, fiqh, tasawuf, dan lain-lain. Setelah itu, Haji Muhammad Lip belajar pula kepada Tuan Guru Haji Ahmad, Paya Rumput, Melaka. Dari Paya Rumput, Melaka Haji Muhammad Lip meneruskan pelajarannya ke Kelantan, belajar di Pondok Tok Kenali. Beliau sempat dalam asuhan Tok Kenali hanya sekitar dua tahun lapan bulan saja, sehingga Tok Kenali meninggal dunia pada 1933. Ilmu-ilmu yang paling utama yang diperolehi beliau daripada Tok Kenali ialah ilmu alat dan tasawuf.
Haji Muhammad Lip pulang ke kampung halamannya tahun 1934 dan seterusnya mulai mengajar di rumah ayahnya. Disimpulkan bahawa sekurang-kurangnya tiga orang di antara gurunya yang tersebut di atas ialah Haji Abdul Lathif, Haji Ahmad, Paya Rumput, dan Tok Kenali adalah murid Syeikh Ahmad al-Fathani. Oleh sebab itulah Haul Kewafatan Ke-101 Syeikh Ahmad Al-Fathani diadakan di Pondok Ribath atas persetujuan bersama antara Pondok Ribath dengan Pengkaji.
Haji Muhammad Lip berkahwin dengan Hajah Halimah binti Abdur Razzaq. Ayah mertuanya ialah orang kaya di Muar pada zaman itu. Beliau membeli sebidang tanah yang kemudian diwakafkan untuk Haji Muhammad Lip menjalankan aktiviti menyebarkan ilmu-ilmu yang telah dipelajarinya. Haji Muhammad bin Yahya selanjutnya menyebut bahawa saksi tentang wakaf itu ialah Haji Muhammad bin Haji Saleh, yang kemudian menjadi Mudir Pondok Ribath. Saksi yang seorang lagi ialah Haji Abdur Rahman Yasin (Imam Trono). Beliau pernah menjadi Imam di Masjid Jamik Muar. Menurut Haji Muhammad bin Yahya (Muar) lagi, bahawa Pondok Ribath beroperasi mulai tahun 1934 hingga 1961. Proses sesudah tahun tersebut sampai sekarang (Julai 2006) kita saksikan sendiri, tidak diceritakan oleh Haji Muhammad bin Yahya.
JALINAN PENGAJIAN
Jalinan penurunan ilmu yang pelbagai dari Syeikh Ahmad al-Fathani kepada ulama Johor, termasuk Tuan Guru Haji Muhammad Lip terlalu panjang untuk dibicarakan. Sebagai contoh pada pengajian ilmu akidah atau ilmu tauhid Ahli Sunah wal Jamaah Johor yang ada hubungan dengan Syeikh Ahmad al-Fathani, di antara sejarah yang telah dikesan adalah sebagai yang berikut:
1. Karya Syeikh Ahmad al-Fathani judul Faridah al-Faraid, diajar di Johor sejak zaman peringkat murid Syeikh Ahmad al-Fathani hingga sekarang. Ustaz Katimun meriwayatkan kepada saya, yang didengar oleh beberapa orang bahawa beliau (Ustaz Katimun) belajar kitab Faridah al-Faraid hingga tamat daripada Cikgu Muhammad Yasin (iaitu ayah Tan Sri Muhyiddin Yassin). Cikgu Muhammad Yasin belajar kitab itu hingga tamat daripada Haji Abu Bakar Alim al-Muari. Syeikh Ahmad al-Fathani termasuk salah seorang di antara guru Haji Abu Bakar Alim dalam pelbagai bidang ilmu ketika di Mekah. Haji Abu Bakar Alim sempat belajar secara langsung beberapa kitab karangan Syeikh Ahmad al-Fathani kepada Syeikh Ahmad al-Fathani sendiri termasuk juga Faridah al-Faraid yang dibicarakan ini.
2. Dalam rangka perundingan akan mengadakan perhimpunan ini, pada 8 Jun 2006, Ustaz Baharuddin bin Muhammad Saman (Mudir Pondok Ribath sekarang) memberitahu beliau telah tamat belajar Faridah al-Faraid daripada salah seorang Tok Guru Pondok dari Kedah. Ustaz Baharuddin juga mengajar kitab itu. Selain itu, beliau juga menceritakan bahawa pengasas Pondok Ribath bernama Tuan Guru Mat Lip bin Haji Hasan adalah murid Tok Kenali Kelantan. Oleh sebab Tok Kenali Kelantan adalah murid yang paling rapat kepada Syeikh Ahmad al-Fathani, bahkan Tok Kenali mengaku sebagai khadam kepada gurunya itu, ini bermakna Pondok Ribath dapat dipisahkan dengan sejarah Syeikh Ahmad al-Fathani. Bererti sanad keilmuan yang pelbagai dapat dihubungkan secara jelas dan nyata yang tidak kita ragui.
3. Maklumat dari Ismail, Pustaka Fajar, ia menceritakan bahawa salah seorang anak perempuan Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya tinggal di Shah Alam berjiran dengannya. Anak perempuan Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya menceritakan bahawa ayahnya adalah belajar dan memperoleh ilmu dari Tok Kenali Kelantan. Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya adalah seorang ulama Johor yang menghasilkan beberapa karangan di antaranya ialah Risalah at-Tauhid, Suluh Mathla' al-Badrain, Cahaya Mustika Qaidah Membahagi Pusaka, Pelajaran Tasawuf Darjah V Bagi Murid-Murid Sekolah Agama Kerajaan Johor dan lain-lain. Oleh sebab Tuan Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya juga murid Tok Kenali Kelantan, maka secara pasti adalah seperguruan dengan Tuan Guru Haji Muhammad Lip. Sekali gus ada hubungan sejarah dengan Syeikh Ahmad al-Fathani.
ISTILAH RIBATH DAN WASIAT
Sekurang-kurangnya ada dua ulama dunia Melayu yang ada jalinan asal usul keilmuan Tuan Guru Haji Muhammad Lip yang pernah menyebut istilah Ribath dalam karya mereka ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam Jam'ul Fawaid dan tulisan Syeikh Ahmad al-Fathani dalam Hadiqah al-Azhar. Perkataan ribath mengandungi pengertian yang pelbagai iaitu ikatan, balutan, markas tentera, tempat yang diwakafkan untuk orang miskin, hati, pondok pengajian dan lain-lain.
Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menterjemahkan ribath sebagai bertunggu pada tempat takut (Jam'ul Fawaid, muka surat 178). Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menulis, ada pun kelebihan ribath, yakni menunggu tempat takut. Riwayat daripada Uthman bin Affan r.a, sabda Rasulullah s.a.w. ribath satu hari di dalam sabilillah itu afdal daripada puasa 1,000 hari dan berdiri 1,000 malam.
Hadis yang lain pula riwayat Salman al-Farisi, Sabda Nabi s.a.w. bahawasanya ribath sehari di dalam sabilillah itu terlebih baik daripada puasa sebulan, dan berdiri sembahyang sebulan. Dan barang siapa mati, padahal dia murabith, dilepaskan daripada fitnah kubur. Dan disurat baginya amalnya seperti seelok-elok barang yang ada ia beramal hingga hari kiamat. (Jam'ul Fawaid, muka surat 184).
Syeikh Ahmad al-Fathani dalam karyanya Hadiqah al-Azhar menggunakan ayat 60, surah al-Anfal terjemahan dan tafsir ringkas Syeikh Ahmad al-Fathani ialah, Dan bersedia oleh kamu bagi mereka itu, akan barang yang kuasa kamu daripada kekuatan dan daripada mengawali beberapa kuda pada negeri dan tepi-tepinya hal keadaan menakut kamu dengan dia akan seteru Allah dan seteru kamu ... Syeikh Ahmad al-Fathani menafsirkan ayat itu dengan panjang, diutamakan dalam pemikiran pendidikan di dunia Melayu mahu pun pelbagai aspek yang ada hubungan dengannya.
Kesimpulannya Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani menggunakan banyak perkataan ribath pada konteks jihad fi sabilillah. Syeikh Ahmad al-Fathani menggunakan perkataan ribath dengan tafsiran yang sangat luas, mulai dari pendidikan hinggalah keseluruhan permasalahan keperluan umat Islam dan umat Melayu. Tuan Guru Haji Muhammad Lip meneruskan perjuangan dengan Pondok Ribathnya. Sebelum beliau meninggal dunia, pada malam Jumaat, 21 Ogos 1989, Tuan Guru Haji Muhammad Lip berwasiat kepada murid dan anak-anaknya. Wasiat seumpamanya adalah serupa dengan ulama-ulama yang terdahulu termasuk tiga guru beliau yang tersebut di atas iaitu, Apa-apa yang Cikgu sudah ajar dalam kitab-kitab serta risalah-risalah yang diambil daripada al-Quran, hadis dan nas-nas syarak daripada ulama-ulama dan kitab-kitab muktabar jangan sesekali diubahkan.

Sumber:
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=10204548485177509&set=a.2941435100334.2117638.1394891848&type=1