Jumaat, 17 Oktober 2014

Tuan Guru Hj. Nor Bot رحمه الله




Ulama Kelantan: Tuan Guru Hj. Nor Bot رحمه الله

Tuan Guru Hj. Muhammad Nor bin Hj. ‘Abdullah lahir pada tahun 1904M (berdasarkan rekod kad pengenalan beliau). Beliau berkata tentang tarikh kelahiran beliau: Saya tidak tahu dengan benar (tepat) pada tahun berapa saya dilahirkan. Yang saya ingat ialah pada masa Musuh Tok Janggut itu saya sudah berusia 10 tahun”. – peristiwa Musuh Tok Janggut berlaku pada bulan Aril dan Mei 1915M.

Guru-guru beliau:

1 – Tuan Guru Hj Utsman bin Abu Bakar, Kg Chenderong Tuah, berhampiran Kadok. Di pondok ini beliau belajar Mutammimah, Bidayatul Hidayah, ad-Durrus Tsamin, Sullam al-Mubtadi, Matla al-Badrain dan Furu al-Masail. Selama memondok disini beliau menghafal matan al-Ajrumiyyah dan Alfiyyah Ibn Malik
2 – Mahaguru Tok Kenali. Belajar Mukhtasar (Jiddan), Syeikh Khalid, Mutammimah, Azhari, Qatrun Nada, Syuzur az-Zahab, Syafiah (imu Shorof) dan lain-lain.
3 – Tuan Guru Hj Yaakob Legor. Belajar Jalalain,al-Asymuni, Fathul Wahhab, Kifayatul ‘Awwam, Hudhudi dan Dusuqi.

10 tahun beliau berguru kepada Tok Kenali dan Tuan Guru Hj. Yaakub Legor. Kemudian beliau berangkat ke Makkah dan bermukim di sana selama 11 tahun untuk menuntut ilmu. Antara guru beliau di Makkah:

1 – Syeikh ‘Abdul Qadir bin Shobir al-Mandaili (Syeikh Qadir Tua) ~ belajar tafsir
2 – Syeikh Salim al-Indonisi – falak
3 – Syeikh Yusuf Jambi – falak
4 – Syeikh Sa’id al-Yamani ~ fiqih
5 – Syeikh ‘Ali al-Maliki ~ fiqih
6 – Syeikh ‘Umar Bajunid – fiqih
7 – Syeikh ‘Umar Hamdan al-Mahrisi ~ hadits, mustholah hadits dan ushul fiqih
8 – Syeikh ‘Isa Rawwas ~ ushul fiqih dan hadits
9 – Syeikh Ibrahim Sudan ~ qiraat
10 – Maulana Hasan India ~ Muwattho`
11 – Syeikh ‘Abdullah Bukhari ~ Mantiq

Antara teman beliau di Makkah adalah Tuan Guru Hj ‘Abdurrahman Dala dan Tuan Guru Hj Hasan Mak Enggol.

Sekembali dari Makkah, maka beliau dijadikan menantu oleh Tuan Guru Hj ‘Abdullah Thahir Bunot Payong. Dan beliau mengajar di mertua beliau. Kitab yang diajar: Jam al-Jawami`, Tahrir, Fathul Wahhab, Bajuri, Idhoh al-Mubham, Jalalain, kitab hadits at-Tirmidhi dan lain-lain.

Beliau kemudiannya membuka pondok sendiri di Bot. Beliau adalah seorang ulama yang pakar dalam ushul fiqih, fiqih dan tasawwuf.

Murid-murid beliau, antaranya: Dato’ hj Hasbullah, TG Hj Abdurrahman Sg Durian, Hj Harun Pauh Lima (kalau tidak silap, beliau menceritakan kepada al-fagir, bahwa beliau khidmat dengan TG Hj Nor Bot selama 18 tahun) dan lain-lain.

Tuan Guru Hj Nor Bot meninggal dunia pada lebih kurang jam 5 petang, hari Ahad, tanggal 25 Disember 1994 pada usia 90 tahun. Dimakamkan di Kg Bot, Kelantan. ~ al-Faatihah.

sekian dari
abu zahrah al-qadahi

Rujukan/sumber: Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Melayu (2)


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka


Rabu, 15 Oktober 2014

Syaikh Wan Sulaiman - Syaikhul Islam Kedah Darul Aman




Syaikh Wan Sulaiman - Syaikhul Islam Kedah Darul Aman

Nama lengkapnya ialah Wan Sulaiman bin Wan Siddiq bin Wan Aman bin Wan Net binti Wan Su. Wan Su adalah Datuk Temenggung Kolot Bukit Lada yang berasal dari Fathani. Wan Net binti Wan Su berkahwin dengan Wan Muhammad Hadi. Wan Sulaiman dilahirkan di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, dalam daerah Kota Setar, Kedah pada tahun 1291 Hijrah/1874 Masih dan meninggal dunia pada 28 Muharam 1354 Hijrah/2 Mei 1935 Masihi.

Ibu kepada Wan Sulaiman bernama Wan Jamilah atau digelar dengan Wan Tam Kecil. Wan Jamilah adalah adik beradik dengan Datuk Kerani Muhammad Arsyad, Kerani Rahsia Kerajaan Kedah. Ayah mereka berdua bernama Haji Abu Bakar (Kadi Daerah Yan, Kedah) bin Wan Nurdiman bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana.

Wan Jamilah adalah anak saudara dan sepupu kepada Wan Hajar (Mak Wan Besar) binti Wan Ismail bin Datuk Seri Paduka Raja Laksamana, iaitu ibu kandung kepada Sultan Abdul Hamid, Raja Muda Tengku Abdul Aziz dan Tengku Mahmud, Presiden Majlis Negeri yang pernah menjadi Pemangku Sultan. Bererti pula Wan Jamilah adalah anak saudara sepupu kepada Wan Muhammad Saman bin Wan Ismail yang pernah menjadi Perdana Menteri Kedah. Ini kerana Wan Hajar adalah adik beradik dengan Wan Muhammad Saman.

PENDIDIKANNYA

Dalam usia 9 tahun, Wan Sulaiman mendapat pendidikan bahasa Melayu di sekolah yang dibuka oleh Haji Din. Pendidikan tersebut ditempuh lebih kurang tiga tahun, iaitu sekitar tahun 1882 - 1885. Dalam masa yang sama beliau juga mengaji al-Quran kepada Haji Ismail al-Kalantani. Wan Sulaiman juga mempelajari bahasa Inggeris kepada Dr. Gromez. Wan Sulaiman berhasil mengIslamkan gurunya ini setelah beliau pulang dari Mekah. Pada usia 12 tahun, Syaikh Wan Sulaiman memasuki pengajian pondok. Gurunya, Syaikh Omar al-Qadri memberi perhatian kepada pengajian kitab Jawi. Dengan asas pengajian Jawi inilah Syaikh Wan Sulaiman berangkat ke Mekah pada tahun 1888M.
Beliau belayar keMekah melanjutkan pelajarannya sekitar tahun 1887/1888M. Sewaktu di Mekah beliau belajar kepada ramai ulama.

Senarai ulama dunia Melayu di Mekah yang pernah menjadi guru kepada Wan Sulaiman ialah:

1 - Syaikh Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari (wafat pada 19 Rabi`al-Awwal 1321 / 14 Jun 1903 di Taif. Dari beliaulah Syaikh Wan Sulaiman baiah thariqat Naqsyabandiyah Mujaddidiyah Ahmadiah)
2 - Syaikh Muhammad Zainuddin Sumbawa (wafat pada 3 Mei 1895)
3 - Syaikh Muhammad Khayyat (merupakan seorang ulama terkemuka di Masjidil Haram. Ketika Syaikh Wan Sulaiman menjadi Qadhi Besar Kedah, beliau telah dilantik menjadi Syaikhul Islam Kedah yang pertama. Beliau wafat di Pulau Pinang pada tahun 1915M)
4 - Syaikh Muhammad Amin Ridwan (mengajar di Masjid Nabawi di Madinah)
5 - Syaikh ‘Ali Surur bin Muhammad az-Zawawi al-Makki al-Mazhari
6 - Syaikh Hasan al-Ja’fari as-Saidi
7 - Syaikh Nik Mat Kecik al-Fathani
8 - Syaikh Wan Ali al-Kalantani
9 - Syaikh Ahmad al-Fathani
10 - Syaikh Daud bin Mustafa al-Fathani
11 - Syaikh Ahmad Lingga
12 - Syaikh Ahmad Khatib Minangkabau dan ramai lagi.

Beliau tinggal di Mekah hampir 20 tahun lamanya.

Di antara sahabat beliau yang sebaya umur dengannya ialah Syaikh Muhammad Said Linggi (lahir 1292 Hijrah/1875 Masihi, meninggal dunia 1345 Hijrah/1926 Masihi). Walau bagaimanapun Syaikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq menerima Thariqat Naqsyabandiyah daripada Syaikh Faqir Muhammad Andakhuri al-Bukhari (meninggal dunia di Taif pada 19 Rabiulawal 1321H/14 Jun 1903M). Dalam masa tiga tahun terakhir, beliau memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap Ilmu Tarekat Naksyabandiyah Mujaddiyah Ahmadiyah. Dari gurunya iaitu Tuan Syaikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Manakala Syaikh Muhammad Said Linggi adalah pengamal Thariqat Ahmadiyah Idrisiyah yang diterima daripada Syaikh Muhammad ad-Dandarawi.

Selain itu diantara ulama seperguruan dengan beliau semasa di Mekah adalah:
1. Syaikh Muhamad Tahir Jalaluddin
2. Syaikh Muhammad Mukhtar ‘Atarid Bogor
3. Syaikh Abdullah Fahim
4. Haji Ismail Labok, Kelantan (kemudiannya menjadi Mufti Kerajaan Pontianak, Kalimantan)
5. Haji Ibrahim Tok Raja ( Mufti Kerajaan Kelantan)
6. Tuan Guru Guru Haji Omar Sungai Keladi
7. Tok Bachok, Kelantan dan
8. Tok Kenali

PERKAHWINAN

Sewaktu masih berada di Mekah, Haji Wan Sulaiman mengahwini Wan Kalsom (Wan Tom) binti Wan Abdul Hamid, anak bekas Kadi Daerah Yan, Kedah dan dikurniakan 11 orang cahayamata.

AKTIVITI

Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada hari Isnin 9 Rabiulakhir 1324/30 Julai 1906M. Sungguh pun demikian ada pendapat yang menyebut bahawa beliau pulang pada tahun 1329H/1910M.

Menurut pendapat al-Muarrikh Tuan Guru Hj Wan Muhammad Saghir: “bahawa beliau pulang ke Kedah pada 9 Rabiulakhir 1324 Hijrah/ 30 Julai 1906 Masihi dikuatkan pula sebuah karya beliau berjudul `Umdatul Aulad, diselesaikan di Kedah pada 8 Muharam 1326H bersamaan 10 Februari 1908M. Oleh sebab karya ini diselesaikan di Kedah lebih kurang 2 tahun sebelum tahun 1329H/1910M, dengan demikian pendapat yang menyebut Wan Sulaiman pulang ke Kedah pada tahun 1329H/1910M adalah sangat diragui.”

Tidak berapa lama dari tarikh kepulangannya, Wan Sulaiman dilantik dengan beberapa jawatan; dimulai dengan kadi, kemudian Kadi Besar pada tahun 1910M dan terakhir sekali Syaikhul Islam Kedah pada tahun 1920M menggantikan Syaikh Muhammad Khayat. Selain sebagai Syaikhul Islam, beliau juga giat mengajar di beberapa surau. Kemuncak aktivitinya ialah mengajar yang dipusatkan di Masjid Zahir [gambar diatas adalah majlis perasmian Masjid Zahir pada tahun 1915].

Beliau juga menganggotai Majlis Syura atau Majmuk Ulama. Majlis Syura ini mengandungi 12 orang ulama dengan dipengerusikan oleh Syaikh Wan Sulaiman sementara (datuk kepada Perdana Menteri Malaysia sekarang) selaku setiausahanya. Ulama-ulama lain yang menganggotainya termasuklah Syaikh Abdullah Fahim, Syaikh Muhammad Khayat, Syaikh Jarum Derga (Haji Wan ldris Wan Jamal), Haji Ahmad Awang, Haji ldris Ayer Hitam, Haji Muhammad Saman, Keramat Serban Hijau, Haji lbrahim Paya Sena, Haji Muhammad Arif Sungai Nonang dan Haji Hussain Nasir al-Banjari (Tuan Hussain Kedah). Majmuk ini berkumpul setiap malam Jum’at di Masjid Zahir untuk bermuzakarah hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam

THARIQAT NAQSYABANDIYAH

Selain mengajar perkara-perkara yang tertakluk dengan fardu ain, fekah, usuluddin, tasawuf, al-Quran dan tajwidnya, Syaikh Wan Sulaiman juga mentawajjuhkan zikrullah menurut kaedah Thariqat Naqsyabandiyah Ahmadiyah Mujaddidiyah.

Silsilah Thariqat Naqsyabandiah: Thariqat ini beliau ambil dari gurunya Tuan Syaikh Fakir Muhammad Al-Bukhari, Haji Wan Sulaiman ditauliahkan Khalifah Tarekat yang ke-34. Silsilahnya adalah seperti berikut:

Syaikh Wan Sulaiman menerima daripada Syaikh Faqir Muhammad al-Bukhari رضي الله عنه menerima daripada Syaikh Muhammad Umar al-Ahmadi رضي الله عنه menerima daripada Syaikh Abu Said al-Ahmadi رضي الله عنه menerima daripada Syaikh Abdullah ad-Dihlawi al-‘Alawi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Habibullah Jan Janan Mazhar al-’Alawi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh asy-Syarif Nur Muhammad al-Badawani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhamad Sayfuddin bin Muhammad Ma’sum رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Ma’sum bin Ahmad رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Ahmad al-Faruqi as-Sirhindi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Baqibillah رضي الله عنه, menerima daripada Muhammad al-Khawajaki al-Amkani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Darwish Muhammad as-Samarqandi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Zahid رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Ubaidullah Ahrar رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Ya’akub al-Jarkhi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Alaudin al-‘Attar al-Bukhari رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh as-Sayyid Bahauddin Muhammad bin Muhammad al-Bukhari رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh as-Sayyid Amir Kulal bin as-Sayyid Hamzah رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Muhammad Baba as-Sammasi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh ‘Ali ar-Ramitani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh al-Anjir al-Faghnawi رضي الله عنه, mengambil dari Syaikh Arif ar-Riyukari رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abdul Khaliq bin Abdul Jamil al-Ghuddanawi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abu Ya’kub Yusuf bin Ayyub al-Hamdani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abu ‘Ali al-Fadhl bin Muhammad at-Tusi al-Farmidi رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abul Hasan Ali bin Abu Ja’far al-Kharqani رضي الله عنه, menerima daripada Syaikh Abu Yazid Taifur bin Isa al-Bisthami رضي الله عنه, menerima daripada al-Imam Abu Ja’faq as-Sodiq رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina Salman al-Farisi رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq رضي الله عنه, menerima daripada Sayyidina Muhammad Rasulullah صلى الله عليه وسلم

Jalur silsilah thariqah Naqsyabandi Syaikh Wan Sulaiman ini sama dengan jalur silsilah yang diterima oleh Syaikh Abdul ‘Adzim al-Manduri (wafat 1335H/1916M) dan Sayyid Abdurrahman bin Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal ‘Abidin al-Idrus (wafat 1335H/1917M) atau lebih dikenali dengan nama Tokku Paloh [Tokku Paloh menerima thariqah Naqsyabandiah daripada Syaikh Muhammad Sholeh az-Zawawi رضي الله عنه, menerima daripada Muhammad Mazhar al-Ahmadi رضي الله عنه (wafat 1301H/1883M di Madinah), menerima daripada Syaikh Abu Said al-Ahmadi رضي الله عنه (wafat 1277H/1860M di Madinah)].

Ada yang berpandangan bahawa memasuki thariqat akan mengakibatkan kemunduran pembangunan duniawi, namun jika kita membaca karya-karya mengenai ilmu tersebut yang dikarang oleh ahlinya, termasuk karangan-karangan Syaikh Wan Sulaiman, tuduhan seperti itu adalah tidak benar. Sebagai contoh Wan Sulaiman adalah seorang ulama yang bergerak aktif sama ada untuk kepentingan duniawi dan ukhrawi. Wan Sulaiman juga telah mengeluarkan fatwa-fatwa mengenai Islam yang merupakan fatwa rasmi kerajaan Kedah pada zamannya. Di dalam sebuah kitab karangannya bertajuk Fakihat al-Janiyah, halaman 10, beliau mengatakan: “….. tidak sempurna insaniahnya ini melainkan dengan thariqat ….”

Syaikh Wan Sulaiman berpandangan bahawa selain aktiviti duniawi, urusan kehidupan (ma`isyiah) mestilah disegandingkan dengan aktiviti secara berjamaah antara guru (mursyid) dengan murid-muridnya.

Katanya lagi, pertemuan shuhbah dengan mursyid sekurang-kurangnya setiap hari tiga kali, iaitu pada waktu sembahyang Subuh, Zuhur dan Asar. Setiap pertemuan sentiasa membahaskan pelbagai bidang ilmu, bahkan juga tiada sunyi daripada membahaskan permasalahan dan kepentingan duniawi. Walau bagaimanapun urusan duniawi mestilah ditimbang menurut yang dibenarkan oleh syarak Islam atau sebaliknya.

JASANYA

Beliau adalah pemikir dan pengasas pertama Madrasah al-Hamidiah pada tahun 1916M di Limbong Kapal Kedah. Limbung Kapal terletak di Alor Setar dan tidak jauh dari Pejabat Agama Kedah ketika itu. Beliau melantik sahabatnya Haji Abdullah Fahim menjadi mudir madrasah tersebut. Madrasah al-Hamidiah ini lebih dikenali di Kedah dengan nama Sekolah Arab Limbung Kapal atau Madrasah Pak Wan Sulaiman. Ia merupakan tempat pendidikan Islam mengikut sistem persekolahan moden kedua terawal di Semenanjung Tanah Melayu, kerana yang paling awal ialah Madrasah al-Attas di Johor Bahru, 1914 Masihi.

Pada tahun 1930M, Syaikh Wan Sulaiman telah mewakafkan sebidang tanahnya bagi meluaskan Madrasah al-Hamidiah memandangkan perkembangan pembelajaran yang begitu pesat. Pelajarnya semakin bertambah yang datang bukan sahaja dari Kedah, tetapi juga dari luar negeri itu. Sekolah Arab Limbung Kapal akhirnya memenuhi tuntutan pendidikan sezaman pada ketika itu. Usaha Syaikh Wan Sulaiman mendapat sokongan dari guru-guru yang berwibawa dan sanggup mengajar di sekolah tersebut. Antara guru itu ialah Syaikh Abdullah Fahim dan Syaikh Ibrahim bin Yusof.

Setelah memperhatikan kemajuan pendidikan tersebut, Wan Sulaiman bersama Tengku Mahmud akhirnya memikirkan pula untuk menubuhkan sekolah menengah Islam. Walau bagaimanapun Wan Sulaiman tidak sempat melihat sekolah yang dicadangnya itu, kerana sekolah tersebut berfungsi setahun setelah beliau meninggal dunia. Sekolah itu ialah al-Ma'ahad Mahmud yang kemudian lebih dikenali dengan nama Maktab Mahmud di Simpang Kuala Alor Setar yang mulai bergerak pada 29 Rabiulawal 1355 Hijrah/16 Jun 1936 Masihi.

Maktab Mahmud termasuk di antara sekolah menengah Islam yang terkenal di Malaysia sampai sekarang. Ramai pelajar lepasan madrasah itu yang menjadi tokoh pelbagai bidang, bukan hanya dalam urusan Islam tetapi juga bidang-bidang lainnya. Ini merupakan jasa besar dan amal jariah Syaikh Wan Sulaiman.

KARYA-KARYANYA

Wan Sulaiman juga menghasilkan beberapa buah karangan, di antaranya ialah:

1 ~ `Umdatul Aulad fi Bayani fi `Ibadatihim ila Rabbil `Ibad, diselesaikan pada 8 Muharam 1326 Hijrah di Kedah Darul Aman. Kandungannya merupakan pelajaran darjah pertama bicara ibadat. Cetakan Keriterian Press Limited, Pulau Pinang.
2 ~ Nihayatul Mathlub fi Tashfiyatil Qulub, diselesaikan pada 30 Jamadilawal 1337 Hijrah di Kedah yang berbentuk manuskrip. Disalin oleh Muhammad Tahir al-Juhuri (Johor) 16 Syaaban 1376 Hijrah/Mac 1957 Masihi. Kandungannya merupakan pelajaran Thariqat Naqsyabandiyah.
3 ~ Futuhat Qad-hiyah, diselesaikan pada 17 Rabiulawal 1343 Hijrah di Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya membahas mengenai Thariqat Naqsyabandiyah-Mujaddidiyah Ahmadiyah. Cetakan kedua, oleh Haji Hasyim bin Abdullah, di Percetakan Siaran, Alor Setar.
4 ~ Qashidah Menyanyi Lagu Abyari, diselesaikan pada 3 Muharam 1344 Hijtah/1925 Masihi di Kampung Limbong Kapal, Kedah. Kandungannya tentang akidah untuk kanak-kanak. Terdiri daripada 114 bait syair. Diceritakan bahawa ia disusun ketika dalam perjalanan menaiki kereta api ke Bangkok sewaktu mengiringi Tengku Mahmud. Cetakan The Kedah Goverment Press, tanpa disebutkan tahunnya.
5 ~ Tanwirul Bashirah ..., diselesaikan pada 20 Rejab 1347 Hijrah/1928 Masihi. Dicatatkan pada halaman belakang oleh Al-Haji Wan Ismail Daud, Setiausaha Hal Ehwal Jabatan Agama Negeri Kedah, katanya, ``Di atas jasa-jasa baik al-Marhum asy-Syaikh Wan Sulaiman bin Wan Siddiq dan perjuangannya untuk menegakkan agama, bangsa dan nusa, janganlah hendaknya kita sebagai kata pepatah, ``Kacang lupakan kulit, hadiah Fatihah kepadanya.'' Cetakan Persama Press, Pulau Pinang.
6 ~ Nazham Syair Bicara Sirah An-Nabawiyah dan Dualul Islamil Kubra Kerajaan Islam Yang Besar-Besar, diselesaikan pada 3 Muharam 1348 Hijrah/1929 Masihi. Kandungannya merupakan syair yang terdiri daripada 198 bait. Selanjutnya menceritakan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w., sirah dan akhlak Nabi s.a.w. Disinggung juga mulai berdirinya Khalifah Usman bin Artoghrrol pada tahun 699 Hijrah hingga pemerintahan Sultan Abdul Hamid Tsani tahun 1293 Hijrah. Cetakan Kerajaan Kedah, tanpa tahun.
7 ~ Mizanul `Uqala' wal Udaba', diselesaikan pada 16 Disember 1950 Hijrah. Kandungannya tentang pengertian syariat, thariqat, haqiqat dan ma'rifat. Cetakan keenam oleh Haji Hasyim bin Abdullah.
8 ~ Mir’atul Qulub (1345H) setebal 11 halaman, mengenai qada dan qadar
9 ~ Nur Saati’ wa Saif Qaati`(1345H) mengenai thariqat Naqsyabandi
11 ~ Hawd al-Mawrud (1346H), huraian mengenai konsep martabat 7
12 ~ an-Nata`ij al-Fakriyah (1349H) setebal 42 halaman. Kupasan mengenai kaum muda dan kaum tua
13 ~ Dan beberapa buah kitab lagi. Kesimpulannya bahawa keseluruhan karangan yang diketahui ada 17 judul, penulisan pertama tahun 1326H/1908M dan terakhir pada tahun 1350H/1931M.

KEWAFATANNYA

Syaikh Wan Sulaiman yang dilahirkan di Kampung Pulau Tengah, Mukim Padang Kerbau, Kota Setar pada tahun 1874, meninggal dunia di rumahnya pada usianya 61 tahun. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada petang Khamis, 2 Mei 1935 bersamaan 29 Muharam 1354. Jenazahnya dikebumikan di Makam Diraja Langgar dengan dihadiri lebih 10,000 orang ramai yang memberi penghormatan terakhir untuk beliau.

KETURUNANNYA

Daripada perkahwinan Wan Sulaiman dengan Wan Kalsum binti Wan Abdul Hamid memperoleh 11 orang anak. Di antaranya yang sempat berkahwin ialah: 1. Wan Noor berkahwin dengan Syed Muhammad Al-Jufri. 2. Wan Mardhiyah berkahwin dengan Datuk Hj. Wan Ibrahim bin Wan Soloh. 3. Wan Rahimah berkahwin dengan Ismail Kasim. 4. Wan Zakiyuddin berkahwin dengan Zainab binti Abdullah.

MURID-MURIDNYA

Antara murid-muridnya adalah:

1. Haji Abu Yazid, Imam di Masjid Yan, Kedah dan merupakan khalifahnya.
2. Dato Haji Wan Ibrahim bin Wan Soloh. Beliau ini juga merupakan menantu Syaikh Wan Sulaiman. Beliau ini juga merupakan ayahanda kepada seorang tokoh koperat Malaysia, Dato Wan Adli Ibrahim (meninggal dunia pada 26 April 1988)
3. Tuan Guru Dato Haji Hussin bin Haji Saleh, Pondok Jalan Makam Diraja, Langgar, Alor Setar.[wafat pada 21 Julai 1997]
4. Haji Mahmud bin Lebai Syafie, Imam dan juga Penghulu Kg Sanglang;
5. Tuan Guru Hj Muhammad Said bin Umar bin Amiruddin bin 'Abdul Karim (pengarang kitab tafsir yang terkenal iaitu Nurul Ihsan, pada akhir kitab ini beliau tulis .... “Telah selesailah bi `aunillah wa husnit taufiq daripada mentaswid Tafsir Nur al-Ihsan ini oleh faqir ilallahi Subhanahu wa Ta'ala Sa'id bin Umar al-Qad-hi baladan, asy-Syafi'ie Mazhaban, an-Naqsyabandi al-Ahmadi Thariqatan, al-Qadhi Syar'iyan ~ maksudnya ialah sebagai Kadi Syar'ie di Jitra ~ ......... Ialah asbab pada menyuratnya, dengan isyarat Syeikhul Waqti wat Thariqah, Mursyidi wa Ustazi Syeikh Sulaiman, Syeikh al-Islam bi Qad-hi Daril Aman."

Demikianlah sekelumit kisah seorang ulama yang berjasa. Peranannya dalam pendidikan, dakwah dan penulisan seharusnya menjadi contoh kepada generasi ulama sekarang. Lebih dari itu adalah kesholehan dan ketaqwaan mereka yang sepatutnya menjadi teladan kepada kita. Akhirkata, marilah kita hadiahkan al-Fatihah pada ulama besar ini. al-Fatihah.

Catatan: Bahan penulisan untuk biografi tokoh ulama ini diambil daripada tulisan Allahyarham Syaikh Wan Muhammad Saghir Wan Abdullah di akhbar UM, Buku Tokoh-tokoh ‘Ulama Semenanjung Melayu -1, terbitan Majlis Agama Islam dan Adat Isti’adat Melayu Kelantan, Buku Biografi Ulama Kedah dan lain-lain bahan bacaan. Sekiranya terdapat salah dan silap, mohon diperbetulkan – abu zahrah al-Qedahi/ 5 November 2007/blog ~ al-fanshuri-kenaliulama.blogspot.com.



Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka






Syaikh Ibrahim bin Daud bin `Abdul Qadir al-Fathani asy-Syafi`i al-Makki




Syaikh Ibrahim bin Daud bin `Abdul Qadir al-Fathani asy-Syafi`i al-Makki adalah ulama keturunan Jawi yang lahir di Makkah pada tahun 1320H. 

Beliau mendapat didikan awal daripada ayahandanya sendiri sehingga berjaya menghafal al-Quran dalam usia kecil, kemudian ayahandanya mengajar beliau karya as-Sayyid Husain al-Maliki sebelum memasukkan beliau ke Madrasah al-Hasyimiyyah.

Selain belajar secara formal di madrasah tersebut, beliau turut menuntut dengan para ulama di luar, dan antara guru beliau adalah Syaikh Muhammad bin `Abdul Qadir al-Fathani, Syaikh Muhammad `Ali bin Husain al-Maliki, Syaikh Yahya Aman, Syaikh Sa`id Yamani, Sayyid `Abbas bin `Abdul `Aziz al-Maliki, Syaikh Muhammad Habibullah as-Syinqithi al-Mishri al-Maliki, Syaikh `Umar BaJunaid, Syaikh `Umar al-Mahrasi, Sayyid Muhammad Amin Kutubi, Syaikh `Isa Rawwas dan ramai lagi, rahimahumUllah.

Setelah menamatkan pengajian, beliau mengajar dalam Masjidil Haram serta di beberapa tempat dan madrasah di Makkah. Beliau juga pernah dilantik menjadi qadhi. Di antara karangan beliau adalah:-
1. Syarah `ala Riyadh ash-Shalihin;
2. Mandhzumah fi Isthilaahaat al-Minhaaj;
3. Nazam al-Hamziyyah fi Madhi Khairil Bariyyah SAW;
4. Nahjul Burdah;
5. Al-Futuuhaat ar-Ramadhaaniyyah wan Nafahaat ar-Rabbaniyyah;

Syaikh Ibrahim meninggal dunia dalam usia 93 tahun di Makkah pada hari Selasa 11 Sya`baan 1413H dan dimakamkan di Jannatul Ma`ala. ............ al-Fatihah.

sumber: abu muhammad shohib blog bahrus shofa.




Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka



Syeikh Muhammad Ibrahim as-Samaluthi




Syeikh Muhammad Ibrahim as-Samaluthi (wafat 1934). Salah seorang ulama besar al-Azhar. Beliau merupakan guru kpd Syeikh Muhammad Idris bin 'Abdul Rauf al-Marbawi (ngaji dari thn 1924 -1934) dan Syeikh Sholeh al-Ja'fari (ngaji dari thn lebihkurang 1930 - 1934). Syeikh Muhammad Ibrahim as-Samaluthi merupakan seorang ulama hadits di al-Azhar. Syeikh Idris al-Marbawi menceritakan ttg pengajian hadits beliau kepada Syeikh Muhammad Ibrahim di dalam kitannya Bahr al-Maadzi



Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka


Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim bin Haji Thahir




Ulama Yang Menetapkan Tarikh Pengisytiharan Kemerdekaan.

Beliau adalah Tuan Guru Haji Abdullah bin Haji Ibrahim bin Haji Thahir. Lebih di kenali disini dengan nama Syaikh 'Abdullah Fahim. Dilahirkan di Syi’ib ‘Ali, Mekah pada pada tahun 1286H/1869M, dan wafat pada tanggal 12 Dhulqaedah 1380H/ 27 April 1961M di Seberang Perai, Pulau Pinang. Tuan Guru Haji ‘Abdullah berguru kepada ulama yang masyhur, di dalam pelbagai displin ilmu.

Di antara guru-guru beliau ialah:
1 - Syaikh Abu Bakar Syatha ad-Dimyathi (murid Sidi Ahmad Zaini Dahlan dan pengarang kitab I`aanathuth -Tholibin yang masyhur. Jelas bahawa terdapat hubungan sanad keilmuan antara beliau dengan Sidi Ahmad Zaini.;
2 - Syaikh Muhammad Sa`id BabShil (Mufti Mazhab Syafie);
3 - Syaikh Muhammad Sulaiman Hasbullah al-Makki;
4 - Syaikh Sayyid Muhammad Amin ar-Rdhwan, Madinah;
5 - Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani (pengarang kitab Mathla’ al-Badrain);
6 - Syaikh Wan 'Ali Kutan al-Kalantani (pengarang kitab al-Jauhar al-Mauhub dan Lum’ah al-Aurad);
7 - Syaikh Wan Ahmad Muhammad Zain al-Fathani (pengasas pengkaderan ulama dunia Melayu di Mekah. Beliau dikatakan mahir di dalam sekurang-kurangnya 47 disiplin ilmu).

Beliau mahir di dalam pelbagai displin ilmu, terutamanya di dalam ilmu falak dan kesusteraan arab. Dengan kedudukan ilmu beliau ini, Haji Abdullah telah diterima sebagai salah seorang guru di Masjidil Haram sehingga 1921.

Beliau telah turun ke Tanah Melayu pada 1921 kerana semangatnya untuk memperjuangkan pembebasan tanahair dan bangsanya dari belenggu penjajah. Selepas pulang ke Tanah Melayu, beliau dijemput oleh Syaikhul Islam Kedah, Syaikh Wan Sulaiman Wan Sidiq untuk mengajar di Pondok Wan Sulaiman atau Madrasah Limbongan Kapal (kini Maahad Mahmud) selama empat tahun.

Pada 1926, beliau kembali ke Kepala Batas dengan tujuan menubuhkan sebuah institusi pendidikan bagi melahirkan anak bangsa yang boleh memperjuangkan kemerdekaan negara. Beliau menamakan pusat pengajiannya sebagai “Madrasah ad-Daeratul Maarif al-Wathaniyah”.

Pada 1930, Sheikh Abdullah Fahim dijemput oleh Sultan Perak untuk menjadi Mudir Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan. Beliau berkhidmat sebagai Mudir Madrasah Idrisiyah sehingga 1946. Pada 1951, Haji Abdullah Fahim telah dilantik sebagai Mufti Pulau Pinang yang pertama dan beliau berkhidmat selama lima tahun. Selepas itu, beliau hanya menumpukan kepada kegiatan keilmuan di Kepala Batas dengan menjadi guru agama di sana.

Ketika hendak mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu dari penjajah Inggeris, Tunku 'Abdurrahman Puta al-Haj menemui beliau untuk mendapatkan tarikh yang sesuai. Dan beliau telah mencadangkan tarikh 31 Ogos 1957. (insyaAllah akan ditulis sedikit tentang ini nanti ...)

Beliau juga adalah seorang yang tegas, terutama dalam menghadapi anasir yang membuatkan masyarakat Melayu Islam berpecah belah ketika itu. Ini dapat dilihat pada pesanan beliau:

"بسم الله الرحمن الرحيم. الحمدلله والصلاة والسلام على سيدنا محمد وعلى آله واصحابه . اما بعد

Tuan-tuan sedia maklum, beratus-ratus tahun bahawa orang bangsa Melayu se Malaya ini dari peringkat ke bawah hingga peringkat ke atas, awam-awam, qadhi-qadhi, ulama-ulama, menteri-menteri, hingga raja-raja, sekalian mereka itu bermazhab dengan Mazhab al-Imam asy-Syafie ijma'an. Tiada seorangpun yang bermazhab lain daripada mazhab Syafie (يحرم خرق الاجماع). – [diharamkan merobek ijma’]

Ambil mereka itu hukum-hukum feqah Syafie daripada kitab Tuhfah, dan kitab Nihayah hingga kitab al-Umm dan mukhtasharatnya dan terjemahnya kepada bahasa Melayu seperti Sabil al-Muhtadin, Bughyah al-Tullab, dan Matla’ al-Badrain dan lainnya. Usuluddin atas perjalanan Abi al-Hasan al-Asy'ari. Diambil dari syuruh dan hawasyi Umm al-Barahin, dan Jauharah dan sebagainya daripada kitab-kitab Melayu. Ilmu tasawuf atas perjalanan al-Imam al-Ghazali diambilkan daripada Minhaj al-Abidin, Ihya' Ulumiddin dan terjemahnya kepada bahasa Melayu, seperti Siyarus Salikin.

Maka ini kitab-kitab dan seumpamanya, segala hukum dalamnya kesemuanya mengistinbat daripada al-Quran dan hadits yang dihalusi dan ditapis oleh ulama-ulama ajilla', diamal dengan dia sudah lebih daripada seribu tahun dan diterjemah kepada bahasa Melayu beratus-ratus tahun.'

[Dirumikan dari tulisan tangan Tuan Guru Hj Abdullah Fahim yang disiarkan di dalam buku Tokoh-tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (2); Terbitan Majlis Ugama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan; Cetakan Tahun 1996; Halaman 39]

Antara pesanan al-Marhum Tuan Guru lagi:

“(Nasihat) supaya jangan berpecah belah oleh bangsa Melayu sendiri. Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab empat mazhab ahli al-Sunnah wal Jamaah [yang beliau maksudkan adalah golongan kaum muda @ Wahabi][1]. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang sejati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu……. hukum-hukum mereka itu diambil dari kitab Huda al-Rasul yang mukhasar daripada kitab Huda al-‘Ibad dikarang akan dia oleh Ibnu Qayyim al-Khariji, maka Ibnu al-Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama' Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah."

"Tuan-tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum-hukum yang tiada terpakai dalam mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu masalah yang buruk-buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri …… "

Bahkan pesanan beliau lebih keras lagi: “Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu, maka bunuhlah akan dia (takwil admin kata 'bunuh' dengan 'bunuh dengan hujjah ilmiyyah' hehehe .... )



Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka









Syeikh Mahfuz al-Termasi



Muhaddits Dunia Melayu - Syeikh Mahfuz al-Termasi

Muhaddits dunia Melayu ini bernama Muhammad Mahfuz bin Abdullah bin Abdul Mannan bin Abdullah bin Ahmad at-Tarmasi. lahir di Termas, Pacitan, Jawa Tengah, pada 12 Jamadilawal 1285H/31 Ogos 1868M, meninggal dunia di Mekah pada 1 Rajab 1338H/20 Mac 1920M.

Pendidikan:

Mendapat pendidikan dari ayahnya sendiri, Syaikh Abdullah bin Abdul Mannan at-Tarmasi. Antara kitab yang dipelajari dari ayahandanya adalah Syarh al-Ghayah li Ibni Qasim al-Ghuzza, al-Minhaj al-Qawim, Fath al-Mu'in, Fath al-Wahhab, Syarh Syarqawi `ala al-Hikam dan sebahagian Tafsir al-Jalalain sehingga Surah Yunus. Seterusnya Syaikh Mahfuz melanjutkan pengajiannya ke Semarang dan belajar kepada Kiyai Muhammad Saleh Darat. Kitab-kitab yang dipelajari ialah Syarh al-Hikam (dua kali khatam), Tafsir al-Jalalain (dua kali khatam), Syarh al-Mardini dan Wasilah ath-Thullab, mengenai ilmu falak.

Setelah tamat pengajian di Semarang, berkelana pula ke Mekah untuk menuntut ilmu. Dan ini adalah merupakan tradisi penuntut ilmu agama di Nusantara iaitu menamatkan pengajian mereka di Mekah. Mekah ketika itu tersohor sebagai kiblat ilmu Antara guru-guru beliau di Mekah ialah:-
1. Syeikh Ahmad al-Minsyawi yang dikenali sebagai Muqri kepada ulama ini, beliau belajar Qiraah `Ashim dan tajwid, sebahagian Syarh Ibni al-Qashih `ala asy-Syathibiyah (tidak sempat khatam).
2. Syeikh `Umar bin Barakat asy-Syami, kitab yang dipelajari ialah Syarh Syuzur az-Zahab li Ibni Hisyam, kitab ini disusun oleh gurunya.
3. Syeikh Mustafa al-'Afifi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Jam'il Jawami' lil Mahalli dan Mughni al-Labib.
4. Sayyid Husein bin Sayid Muhammad al-Habsyi, kitab yang dipelajari ialah Sahih al-Bukhari.
5. Syeikh Muhammad Sa'id BaBashail, kitab yang dipelajari ialah Sunan Abu Daud. Sunan Tirmidhi dan Sunan Nasai.
6. Sayyid Ahmad az-Zawawi, kitab yang dipelajari ialah Syarh `Uqud al- Juman, karangan gurunya itu, dan sebahagian kitab asy-Syifa' lil Qadhi al-'Iyadh.
7. Syeikh Muhammad asy-Syarbaini ad-Dimyathi, kitab yang dipelajari ialah Syarh Ibni al-Qashih, Syarh ad-Durrah al-Mudhi-ah, Syarh Thaibah an-Nasyr fi al-Qiraat al-'Asyar, ar-Raudh an-Nadhir lil Mutawalli, Syarh ar-Ra-iyah, Ithaf al-Basyar fi al-Qiraat al-Arba'ah al-'Asyar, dan Tafsir al-Baidhawi bi Hasyiyatihi
8. Sayyid Muhammad Amin bin Ahmad Ridhwan al-Madani, kitab yang dipelajari ialah Dalail al-Khairat, al-Ahzab, al-Burdah, al-Awwaliyat al-'Ajluni dan Muwaththa' Imam Malik.
9. Sayyid Abu Bakr bin Sayyid Muhammad asy-Syatha
10. Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki, dan ramai lagi

Antara shahabat-shahabatnya di Mekah
1. Syeikh Wan Daud bin Mustafa al-Fathani (1283H/1866M - 1355H/1936M).
2. Haji Abdullah Fahim (lahir 1286H/1869M),
3. Tok Kenali (lahir 1287 H/1871 M) dan ramai lagi ….

Penulisannya:

Penulisannya, sekitar 20 judul atau lebih. Dan semua kitab yang ditulisnya adalah didalam bahasa ‘Arab. (Hebatkan ulama Melayu dulu! Maka tidak sewajarnyalah ada golongan hingusan sekarang yang berfahaman Wahabi melekehkan mereka. Bahkan ada golongan dengan bermodalkan PhD mereka, menyarankan kitab-kitab kuning – kitab yang dikarang ulama silam - dibuang atau dibakar …. Begitulah ilmuan sekarang … makin tinggi ilmu bukannya makin beradab tetapi semakin biadab. Namun tiada semuanya, hanya segelintir sahaja tapi mereka lantang bersuara dan pandai menonjolkan diri)
1. As-Siqayatul Mardhiyah fi Asamil Kutubil Fiqhiyah li Ashabinas Syafi'iyah, diselesaikan pada hari Jumaat, Syaaban 1313 H,
2. Muhibah zil Fadhli `ala Syarh al-'Allamah Ibnu Hajar Muqaddimah Ba Fadhal), kitab ini empat jilid dan tebal. Jilid pertama diselesaikan pada 25 Safar 1315H, tebal 556 halaman. Jilid kedua diselesaikan pada hari Jumaat, 27 Rabiulakhir 1316H, tebal 504 halaman. Jilid ketiga diselesaikan pada malam Ahad, 7 Rejab 1317H, tebal 544 halaman. Jilid keempat, diselesaikan pada malam Rabu, 19 Jamadilakhir 1319H, tebal 733 halaman. Keseluruhan halaman jilid pertama sampai empat ialah 2437 halaman. Kandungannya membicarakan fikah lengkap berupa syarah dan hasyiyah dalam Mazhab Syafie yang dibahas secara mendalam, ilmiah dan terperinci. Kitab khazanah keilmuan yang demikian tinggi dihasilkan oleh putera dunia Melayu yang penting tersebut dicetak Mathba'ah al-'Amirah asy-Syarfiyah, Mesir, 1326 H. (Kitab inilah yang dijual di kedai kitab berhadapan dengan Dar al-Musthafa). Dan kini kitab ini telahpun dicetak dengan sempurna oleh penerbit Dar al-Minhaj dalam 7 jilid.
3. Kifayatul Mustafid lima `ala minal Asanid, diselesaikan pada hari Selasa, 19 Safar 1320 H. Kandungannya membicarakan pelbagai sanad keilmuan Muhammad Mahfuz bin Abdullah at-Tarmasi. Kitab ini ditashhih dan ditahqiq oleh Syeikh Muhammad Yasin bin Isa al-Fadani al-Makki, al-Mudarris Daril `Ulumid Diniyah, Mekah.
4. Manhaj Zawin Nazhar fi Syarhi Manzhumati `Ilmil Atsar, diselesaikan pada tahun 1329 H/1911 M. Kandungannya membicarakan Ilmu Mushthalah Hadits merupakan Syarh Manzhumah `Ilmil Atsar karangan Imam Jalaluddin as-Suyuthi.
5. Al-Minhatul Khairiyyah fi Arba’ina Hadiitsan min Ahaditsi Khair al-Bariyah. (alhamduliLlah kitab ini dihadiahkan oleh al-Fadhil Ustaz Azlan ‘Abdul Lathif kepada al-faqir. Dan kitab ini sempat al-faqir baca kepada beberapa orang syeikh ketika bertemu mereka)
6. Al-Khal'atul Fikriyah fi Syarhil Minhatil Khairiyah. Kandungannya juga membicarakan hadis merupakan Syarh Hadits Arba'in (Hadits Empat Puluh) berdasarkan yang disyairkan oleh Syeikh al-Qasthallani dalam Hadis Bukhari yang berasal daripada perkataan al-Hafizh Abi Bakr al-Burqani. (alhamduliLlah kitab ini juga dihadiahkan oleh al-Fadhil Ustaz Azlan ‘Abdul Lathif kepada al-faqir)
7. Al- Badrul Munir fi Qira-ati Ibni Katsir.
8. Tanwirus Shadr fi Qira-ati Ibni `Amr.
9. Insyirahul Fawaid fi Qira-ati Hamzah.
10. Ta'mimul Manafi' fi Qira-ati Nafi'.
11. Al-Fawaidut Tarmasiyah fi Asamil Qira-ati `Asyariyah,
12. Is'aful Mathali' Syarhul Badril Lami' dan ada beberapa buah lagi yang masih di dalam bentuk manuskrip.

Ulama melayu yang mahir di dalam pelbagai bidang ilmu ini meninggal dunia di Mekah menjelang waktu Maghrib pada 1 Rajab 1338H/20 Mac 1920M. Semoga Allah merahmati ulama kita yang berjasa ini.

(Biografi ini adalah cuplikan dari tulisan al-Marhum Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir yang tersiar di Utusan Malaysia, dengan sedikit penambahan)









Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka







Kenali Para Ulama'






Gambar: Al Alim Al Allamah Al Muhaddist As-sayyid Alawi bin Abbas Al Maliki Al Idrisi Al Hasani,Al Alim Al Allamah As-Sayyid As-Syaikh Muhammad Amin Al Hasani, Al Imam Al Allamah Al Muhaddist Prof Dr As-Sayyid MUhammad bin Alawi Al Maliki Al Idrisi Al Hasani


















Sebahagian wajah-wajah ulama' amilin ahlus sunnah wal jamaah Tanah Melayu.











Ahli Majlis Ulama' Kelantan Tahun 1964M


Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim




Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bin Haji Hashim – Menerajui Kegemilangan Pondok Pulau Pisang, Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman

Ulama Kedah ini dilahirkan di Kampung Pulau Pisang, Mukim Tunjang, Jitra, Kedah Darulaman pada tahun 1280H/1864M. Nama lengkap beliau adalah Muhammad Salleh bin ‘Abdul Hamid bin Ishaq al-Fathani. Manakala dari sebelah ibu pula ialah Fatimah binti Ishaq bin Muhammad Hasyim bin Abdul Baqi. Datuk sebelah ibunya, iaitu Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi (lahir pada tahun 1184H/1771M di Kampung Padang Panjang, Kota Sena, Malau, Jitra dan meninggal dunia pada 1287H/1871M. Keturunan mereka berasal dari Fathani kerana Haji ‘Abdul Baqi adalah merupakan seorang ulama dan pembesar dari Kampung Cerang, Fathani)adalah merupakan pengasas kepada Pondok Pulau Pisang di zaman Tengku Anum memerintah Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam. Tuan Guru Haji Ishaq bin Haji Muhammad Hasyim bin Haji Abdul Baqi adalah murid Syaikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan Syaikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tuan Guru Haji Ishaq juga pernah menjawat sebagai Qadhi Besar Negeri Kubang Pasu Darul Qiyam.

Pendidikan:

Mendapat pendidikan awal daripada datuknya, yang juga merupakan pengasas Pondok Pulau Pisang. Walaupun Muhammad Salleh telah `alim sejak di Pondok Pulau Pisang lagi kerana beliau sempat mempelajari kitab-kitab besar daripada datuknya, Tuan Guru Haji Ishaq, ulama besar Kedah, murid Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Namun sudah menjadi tradisi pada zaman itu untuk mengesahkan seseorang itu diakui keilmuannya, hendaklah belajar lagi kepada ulama-ulama besar yang berada di Mekah dan Madinah. Maka untuk itu beliau dihantar ke Mekah untuk menyambung pengajian iaitu antara tahun 1295H/1879M hingga tahun 1312H/1894M. Ulama yang paling banyak Muhammad Salleh menimba ilmu daripdanya adalah Syaikh `Abdul Qadir bin `Abdur Rahman al-Fathani, cucu saudara dan juga Khalifah Syaikh Daud bin `Abdullah al-Fathani. Pengetahuan yang bercorak pengkaderan dan pelbagai bidang duniawi dan ukhrawi pula beliau adalah diasuh oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani. Selain itu beliau juga belajar daripada ulama Arab yang mengajar di sekitar Mekah pada ketika itu.

Menerajui Pondok Pulau Pisang:

Setelah beliau kembali dari Mekah pada tahun 1312H/1894M, Haji Muhammad Salleh langsung menerajui Pondok Pulau Pisang yang diasaskan oleh datuknya itu. Pondok Pulau Pisang adalah merupakan satu-satunya pondok yang utama dan termaju di negeri Kedah, namun setelah meninggalnya Tuan Guru Haji Ishaq pada tahun 1287H/1871M, ianya mula merosot. Namun setelah ianya diterajui oleh Haji Muhammad Salleh, pondok ini berkembang dan mengalami kemajuan yang pesat, kembali memancarkan nur ilmu pengetahuan dan menjulang kecemerlangan kewibawaan. Ketika mula menerajui pondok ini, Haji Muhammad Salleh berusia 30 tahun. Diriwayatkan bahawa Pondok Pulau Pisang dalam masa pimpinan Haji Muhammad Salleh bin Haji Hasyim pelajarnya pernah mencapai 2,000 orang. Jumlah pelajar pondok ribuan orang yang datang dari seluruh Tanah Melayu termasuk Indonesia pada zaman itu merupakan satu jumlah yang besar dan luar biasa, yang tidak terjangkau oleh pengajian pondok lainnya, kecuali pada zaman yang sama di Fathani dan Jawa, malah ada yang lebih ramai daripadanya.

Kitab-kitab yang diajarnya: Diantara kitab-kitab turats Islam, bahasa Melayu yang diajarkan di Pondok Pulau Pisang ialah

Faridatul Faraid karangan Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (aqidah)
Bidayatul Hidayah oleh Syaikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh (aqidah)
Ad-Durruts Tsamin oleh Syaikh Daud bin ‘Abdullah al-Fathani (aqidah)
Hidayatus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
Siyarus Salikin oleh Syaikh ‘Abdus Shamad al-Falimbani (tasawuf)
Ad-Durrun Nafis oleh Syaikh Muhammad Nafis al-Banjari (tasawuf)
Turjumanul Mustafid (Tafsir Baidhawi Melayu) oleh Syaikh Abdur Rauf bin Ali al-Fanshuri. (Tafsir)

Manakala kitab-kitab turats berbahasa ‘Arab pula, antaranya

Fathul Mu'in (fiqh)
I'anatut Thalibin (fiqh)
Baijuri (fiqh)
Dasuqi (aqidah)
Kifayatul Awwam (aqidah)
Shahih al-Bukhari. Jawahir al-Bukhari dan kitab-kitab hadits lain (hadits)
Tafsir Jalalain dan Baidhawi (Tafsir)
Minhajul `Abidin (Tasawuf)
Ihya' `Ulumid Din (Tasawuf)
Matnur Risalatil Fathaniyah dan Tashilu Nailil Amani oleh Syaikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani (nahwu)
Kitab-kitab yang dikarang oleh Syaikh Nawawi Banten
Dan lain-lain lagi

Murid-murid beliau: Diantara murid-murid beliau adalah

Syaikh Ismail bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
Syaikh Ramli bin Haji Muhammad Salleh (anak beliau sendiri)
Dr Burhanuddin al-Helmi
Tuan Guru Haji Ahmad Janggut, Langgar
Tuan Guru Haji Ahmad Hutan Palas atau dikenali juga Tuan Guru Haji Ahmad Keplu (alhamdulilah, al-Faqir abu zahrah sempat beberapa kali menemui dan mengambil ilmu dari beliau. Dari beliaulah abu zahrah terima Ratib Haddad, iaitu ketika masih di sekolah rendah.)
Tuan Guru Haji Abbas Nasution, Tanjung Pauh (beliau juga pernah abu zahrah temui beberapa kali, namun ketika itu tidak mengenali siapa beliau. Cuma abu zahrah kenalinya sebagai seorang yang baik hati. Beliau pernah menunjukkan al-Quran tulisan tangannya kepada abu zahrah. Pun tak faham lagiii … kerna dikala itu masih di primary school.)
Haji Abdullah Hassan dan ramai lagi.

Penulisan:

Sungguhpun sibuk mengajar di pondok dan memenuhi hajat masyrakat setempat, Tuan Guru Haji Salleh masih dapat meluangkan masanya untuk mengarang. Kitab-kitab karangan beliau:

Sirajul Huda wa Mishbahud Duja. Pertama kali dicetak oleh Mathba'ah Muhammad `Ali Shabih dekat Al-Azhar, Mesir tahun 1344H. Selain Sirajul Huda, karya beliau yang lain pula ialah
Tanbihul `Awam li Istiqazil Manam, juga dicetak di Mesir tahun 1950
An-Nashihatuddin az-Zakiyah

Karangan beliau yang lain tidak dapat dikesan kerana musnah di dalam kebakaran pada tahun 1962. Pondok Pulau Pisang mengalami 2 kali kebakaran. Kebakaran sebelumnya memusnahkan kitab-kitab karangan Tuan Guru Haji Ishaq.

Selain dari belajar, para pelajar pondok di Pondok Pulau Pisang juga mengamalkan ratib al-Haddad, di mana ianya dibaca secara beramai-ramai pada sebelah malam.

Keturunan: Hasil dari perkahwinannya dengan isteri yang bernama Saerah binti Abbas beliau dikurniakan 4 orang cahaya mata iaitu:

Hajah Jamilah
Syaikh Ismail. Pernah dilantik menjadi Qadhi Besar Kedah dari tahun 1356H – 1358H dan kemudian dilantik menjadi pengerusi Majmak Ulama Syaikhul Islam Negeri Kedah dari 1358H – Syawwal 1364H. InsyaAllah, abuzahrah akan menulis mengenai ulama ini.
Haji Qasim dan
Syaikh Ramli.

Pemimpin masyarakat:
Tuan Guru Haji Muhammad Salleh bukanlah hanya sekadar Tuan Guru di pondok, namun beliau juga adalah merupakan seorang pemimpin masyarakat yang berwibawa. Beliau berjasa di dalam menyediakan sebuah jalanraya sejauh 2km yang menghubungkan Kampung Pulau Pisang dan Pekan Tunjang yang dibinanya secara gotong-royong; mengemaskini pentadbiran Masjid Ishaqiah di Kampung Pulau Pisang dan mengasaskan moreh berbuka puasa di masjid tersebut; menyelesaikan masalah-masalah masyarakat setempat.

Kewafatannya: Setelah lebih dari 50 tahun berbakti di dalam memimpin Pondok Pulau Pisang, Haji Muhammad Salleh meninggalkan dunia yang fana ini pada tahun 1363H/1944M. al-Faathihah.

******

Sekian dan salam hormat dari
Al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi
Catatan ini disempurnakan pada hari Itsnin, 19 Rabiul Awwal 1430/ 16 Mac 2009, ketika bercuti di kampungku di Jitra, Kedah Darulaman.

Rujukan:

Tulisan Tuan Guru Haji Wan Muhammad Shaghir bin Wan ‘Abdullah di Utusana Malaysia bertarikh 31 Mei 2004
Biografi Ulama Kedah Darul Aman, terbitan Lembaga Muzium Negeri Kedah Darulaman




Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka






Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha





Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha, Kupang, Baling, Kedah Darulaman – Pengasas Madrasah Khairiyyah Merupakan Tuan Guru Yg di Geruni Komunis

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha, Kupang, Baling, Kedah Darulaman – Pengasas Madrasah Khairiyyah (kini di kenali sebagai Yayasan Khairiyyah), Tuan Guru Yang di Geruni Komunis.

Kelahiran:

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhamad Thaha bin Idris (Mat Aris) di lahirkan di Kampung Pisang, Kupang, Baling Kedah, Darulaman pada tahun 1906M. Datuk beliau, Idris berasal dari Fathani.

Ibunya adalah Hajjah Hajar binti Haji ‘Abdullah bin Tok Samad, Kampung Pisang, Kupang. Keluarga sebelah ibunya juga berasal dari Fathani dimana sewaktu awal kedatangan mereka ke Kedah, mereka menumpang di rumah Tok Basyir [1] dan di rumah Tok Mat Din. Kedua-duanya muhajir dari Fathani yang berpindah ke Kedah.

Pendidikan:

Tuan Guru Haji Yahya mendapat pendidikan awal membaca al-Quran dirumah saudara seibunya, Awang Besar bin Saman (beliau adalah ayah kepada Tuan Guru Haji Yahya @ Ilyas. Belajar di Mekah selama selama 16 tahun dan terkenal ‘alim di dalam ilmu fiqah dan faraidh). Kemudian berguru dengan Tuan Guru Haji Ahmad bin Awang Besar bin Tok Mat Din [2], Kampung Jerai. Kemudian beliau memasuki sekolah Melayu Sik sehingga darjah 3 (darjah tertinggi ketika itu). Sewaktu di Sik beliau tinggal di pondok Tuan Guru Haji Ya’kub ‘Abdurrahman [3], Kampung Kemelung, Sik. Di pondok inilah Haji Yahya menadah kitab dibawah asuhan Tuan Guru Haji Ya’kub ‘Abdurrahman. Setelah 6 tahun memondok, beliau belayar bersama ibu dan saudaranya Awang Besar ke Mekah iaitu pada tahun 1923M. Beliau bermukim di Mekah selama 12 tahun.

Antara guru-guru beliau di Mekah:

Pak Cik Daud (Tuan Guru Haji Wan Daud bin Wan Musthafa al-Fathani). Ayah saudara kepada Pak Da El, Pak Chu Him dan Syaikh Wan Ahmad al-Fathani.
Tuan Guru Haji Yahya Raman al-Fathani (Cher Pak Ya al-Ramani) – menantu Tok Yaman al-Fathani
Syaikh Nur bin Syaikh Nik Mat Kecik (Syaikh Nur Raman)
Syaikh wan Ismail bin Wan ‘Abdul Qadir al-Fathani atau Pak Da ‘El
Syaikh Mukhtar ‘Atarid Bogor
Syaikh Ahmad Ahyad Idris Bogor (menantu Syaikd Mukhtar ‘Atarid)
Syaikh ‘Ali Maliki (ketua ulama fiqh 4 mazhab)
Sayyid ‘Alawi bin Sayyid Abbas al-Maliki al-Hasani
Syaikh Muhammad ‘Arabi

Teman sepengajiannya pula:

Tuan Guru Dato’ Haji ‘Abdurrahman Haji Abdullah, Merbok, Kedah
Tuan Guru Dato’ Haji Hussin Haji Sholeh, Lorong Makam, Langgar, Kedah
Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar, Kampung Sadik, Kupang
Mufti Haji Muhammad Nor Ibrahim, Kelantan
Tuan Guru Haji Daud Said, Getting, Tumpat, Kelantan
Tuan Guru Haji ‘Abdurrahman Arsyad, Dala, Fathani (Tok Dala)
Tuan Guru Haji ‘Abdullah Haji Wan Musa, Kubang Pasu Kota Bahru, Kelantan
Syaikh ‘Abdul ‘Aziz Haji Ahmad Awang Besar, Kupang (Qadhi Besar Kedah)
Syaikh Muhammad Yasin bin Muhammad ‘Isa al-Fadani

Membuka pondok:

Setelah 12 tahun dibawah lindungan Ka’bah, maka pada tahun 1936, Tuan Guru Haji Yahya kembali ke Tanah Melayu. Pada mulanya beliau mengajar dirumahnya pada sebelah malam dan pagi Jum’at. Memandangkan sambutan masyarakat yang meggalakkan, penduduk setempat mengambil inisiatif untuk mengadakan madrasah khas untuk beliau mengajar. Madrasah ini kemudian berkembang menjadi Pondok Kampung Pisang. Pondok ini terus berkembang sehingga pecah Perang Dunia ke-II. Dengan kedatangan Jepun madrasah ini terhenti buat seketika, namun pada pertengahan tahun 1943 ianya disambung semula. Bilangan pelajar bertambah sehingga terdapat kira-kira 500 buah pondok didirikan.

Sebelum tahun 1951, Madrasah Khairiyah ini menumpukan pengajian secara umumi tetapi setelah dipersetujui oleh Tuan Guru Haji Yahya, pengajian secara nizami di selah siang hari diperkenalkan dan digabungkan dengan pengajian secara umumi di sebelah malam harinya. Antara yang menjadi tenaga pengajar adalah Tuan Guru Haji Hasan Rasyid al-Makki (selaku Mudir),Dato’ Haji Zakaria Haji Ahmad Wan Besar, Haji Sulaiman Ibrahim Fahmi, Haji Badaruddin dan Haji ‘Abdurrahman Haji ‘Abdul Majid. Madrasah al-Khairiyah ditukarkan kepada nama Yayasan Khairiyah pada tahun 1971 ketika Ustaz Zawawi Haji ahmad Che Pi menjadi mudirnya.

Murid-muridnya: Antara murid-murid beliau:-

Tuan Guru Haji Umar Zuhdi Haji Sholeh, Pondok Banggol Berangan, Lanai, Baling
Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar, Kampung Sadik, Kupang
Ustaz Haji ‘Abdullah Awang Besar
Ustaz Haji Yusuf Ismail, Baling (bekas ahli Majlis Fatwa Tabung Haji). - Beliau adalah khadam kepada Tuan Guru Haji Yahya
Tuan Guru Haji Muhammad Yusuf, Batu 4, Jalan Yala, Betung
Tuan Haji Syahabuddin, bekas imam Masjid Baling
Ustaz Haji Sulaiman Ibrahim Fahmi, Mudir Yayasan Khairiyah
Ustaz Haji Yahya Awang Besar – anak saudara beliau dan merupakan Imam Masjid Kampung Tanjung, Kupang
Dato Haji Daud Che Ngah, bekas Pengurus Besar Bimbingan Haji, Lembaga Tabung Haji
Syaikh Haji Hasan Rasyid, Mudir Yayasan Khairiyah yang pertama
Tuan Guru Haji Wan Embun, Ijok, Perak
Ustaz Zawawi Haji Ahmad, bekas ADUN Kedah
Ustaz Haji Ismail Haji ‘Ali, Jempol, Negeri Sembilan. Tokoh Ma’al Hijrah Negeri Sembilan 1998.
Syaikh Ahmad Zahari, Mekah

Karangan:

Tiada maklumat yang menunjukkan Tuan Guru Haji Yahya meninggalkan sebarang karangan berupa tulisan. Yang pasti beliau meninggalkan kitab yang bergerak iaitu murid-murid beliau.

Kemasyarakatan:

Sewaktu pemberontakan komunis - zaman darurat, iaitu itu setelah kekalahan tentera Jepun dan Inggeris kembali bertapak, berlaku bermacam keganasan, kekejaman terhadap rakyat oleh Kumpulan Bintang Tiga – Komunis. Pada ketika inilah Tuan Guru Haji Yahya dan murid-murinya memainkan peranan paling berjasa sampai dikenang sehingga kini oleh masyarakat Kupang, Baling iaitu menghalau komunis dari mengganggu masyarakat kampung.

Pada ketika pemberontakan komunis, Sekolah Melayu Kupang menjadi markas Bintang Tiga (Komunis) menjalankan aktiviti mereka mengganggu penduduk kampung. Tuan Guru Haji Yahya serta rakannya Pak Su Haji Ahmad telah mengetuai perarakan menghalau komunis tersebut dengan laungan kuat takbir (الله اكبر) dan tahlil (لاإله إلا الله) dan berhenti di Masjid Kupang yang bertentangan dengan markaz komunis. Di Masjid ini mereka bertakbir dan bertahlil dengan kuat sehingga menggerunkan pihak komunis dan akhirnya mereka melarikan diri. Dan keadaan kampung kembali tenang.

Kegiatan menghalau komunis ini bukan sahaja berlaku di Baling, tetapi Tuan Guru Haji Yahya juga dijemput untuk menghalau komunis di Kroh, Grik dan Batu Kurau, Perak. Inilah yang yang menjadi kelebihan pada diri Tuan Guru Haji Yahya. Sehinggakan masyarakat Cina tempatan pada awalnya tidak mempercayai Tuan Guru Haji Yahya sudah meninggal kerana mereka mendakwa masih melihat beliau dimana-mana. Dan memang tidak dinafikan bahwa Tuan Guru Haji Yahya ini dikurniakan karamah iaitu antaranya digeruni musuh. Perkara seumpama ini juga berlakau kepada tokoh-tokoh ulama yang lain seperti Tuan Guru Haji Wan ‘Abdus Shamad Pokok Sena dan Tuan Guru Haji Hussin Che Dol di dalam perisitwa Bukit Jenun.

Politik: Tuan Guru Haji Yahya juga bergiat di dalam politik iaitu di dalam Parti Islam Semalaysia (PAS). Madrasahnya, Madrasah Khairiyah pernah menjadi tapak bagi penubuhan Dewan Ulama PAS Negeri Kedah dan beliau sendiri telah terpilih sebagai Ketua Dewan Ulama PAS Kedah yang Pertama pada tahun 1953.

Keturunan:

Tuan Guru Haji Yahya mula mendirikan rumahtangga pada tahun 1936 ketika menuntut di Mekah dengan Hajjah Wan ‘Aisyah binti Haji Mat , Kupang tetapi bercerai kemudiannya, tanpa meperolehi zuriat. Kemudian bernikah pula dengan ‘Aisyah binti Haji Awang Kechik, Kampung Pisang. Melalui perkahwinannya ini beliau dikurniakan 10 orang zurat. Seterusnya berpoligami, dengan menikahi Fathimah binti Haji Muhammad Zain, dan mendapat seorang anak. Setelah kematian Fathimah, Tuan Guru Haji Yahya mengahwini Hajjah Khadijah bin Haji Muhammad Zain, iaitu saudara kepada Fathimah (bersalin tikar) dan memperolehi 10 orang cahayamata. Melalui pernikahan Tuan Guru Haji Yahya dengan Hajjah Maimunah @ Munah bin Haji Muhammad Yasin [4], dan mendapat 6 orang cahayamata. Dan isteri Tuan Guru Haji Yahya yang terakhir adalah Hajjah Khadijah binti Jusuh dari Kelantan, dan mendapat seorang cahayamata. Jumlah anak Tuan Guru Haji Yahya kesemuanya adalah 28 orang.

Kewafatan:

Tuan Guru Haji Yahya bin Muhammad Thaha menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 2 petang, Khamis 1959 dirumah isterinya Hajjah Maimunah. Jenazah beliau beliau di semadikan di tanah perkuburan Masjid al-Huda, Kampung Hangus, jam 11 pagi Jum’at. Al-Faatihah.

Sekian dan salam hormat dari
Al-Haqir Abu Zahrah ‘Abdullah Thahir al-Qedahi
Catatan ini disempurnakan pada hari Rabu, 28 Rabiul Awwal 1430/25 Mac 2009 di teratakku di Gombak - Catatan ini adalah merupakan ringkasan dari: Majalah Pengasuh Bil. 570 dibawah kolum Tokoh Ulama Semenanjung Melayu oleh Muhammad Rushdi ‘Abdul Malik al-Kalantani

Notakaki

[1] – Beliau adalah datuk kepada Tuan Guru Haji Awang Embun Haji Umar dan merupakan moyang kepada Dato’ Syaikh ‘Abdul ‘Aziz (qadhi besar Kedah, beliau meninggal di dalam satu nahas kapalterbang di Bangkok sewaktu kembali daripada menunaikan haji, tahun 70an) dan Dato’ Haji Zakaria Haji Ahmad Wan Besar (ahli majlis fatwa kerajaan Negeri Kedah sehingga kini).

[2] Beliau adalah ayah kepada Dato’ Syaikh ‘Abdul ‘Aziz (qadhi besar Kedah) dan Dato’ Haji Zakaria (ahli majlis fatwa kerajaan Negeri Kedah), mertua kepada Tuan Guru Haji Ahmad Rusydi, Sidim, dan besan Tuan Guru Haji Hussien Che Dol. Beliau ahli dalam ilmu qiaraat yang 7.

[3] Tuan Guru Haji Ya’kub ini terkenal dengan nama ‘Haji Ya’kub Hitam’ kerana pada masa yang sama terdapat seorang lagi Haji Ya’kub yang menjadi qadhi Sik, yang dipanggil ‘Haji Ya’kub Putih’. Haji Ya’kub Hitam mendapat pendidikan di Mekah dan merupakan teman baik Tok Kenali. Pada awalnya tinggal di Pedu, kemudian di bawa oleh Haji Utsman, ketua kampung Kemelung untuk mengajar dan membuka pondok disana. Kemudian Haji Utsman diambil oleh Tuan Guru Haji Ya’kub sebagai menantunya. Salah seorang anak Haji Utsman adalah Tan Sri Dr. ‘Abdul Hamid Utsman (bekas menteri yang menjaga hal ehwal agama dan merupakan penasihat khas Perdana Menteri Malaysia)

[4] – Haji Muhammad Yasin berasal dari Negeri Sembilan. Beliau kemudiannya dikenali dengan Syaikh Muhammad Yasin. Mengahwini Hajjah Aminah, anak kepada Tuan Guru Haji Yak’kub Hitam, Kemelung, Sik. Beliau menetap dan meninggal di Mekah. Sebelum berangkat ke Mekah, beliau mengahwinkan anak gadisnya yang bernama Maimunah atau Munah kepada Tuan Guru Haji Yahya Kupang. Ketika itu Maimunah berusia kurang lebih 12 tahun.


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka





Tuan Guru Hj 'Abdullah Thohir bin Hj Ahmad bin Awang Ludin





Tuan Guru Hj 'Abdullah Thohir bin Hj Ahmad bin Awang Ludin @ Muhammad Zein, Bunut Payong. Tok Faqih Tanah Melayu. Lahir di Kg Sireh pada 20 Muharram 1315H/20 Jun 1837. Tutup usia pada 4 Rabiulawwal 1371H/15 Ogos 1961. 

Berguru dengan Tok Kenali selama 15 tahun lebihkurang. Kemudian berangkat ke Makkah. Antara guru beliau disana
Syeikh Mukhtar 'Atarid Bogor (- belajar kitab Ihya 'Ulumiddin, al-Kabair oleh Ibn Hajar, Hikam Ibn 'Athoillah dll.
Syeikh 'Ali al-Maliki (wafat 28 Syaban 1367H)- belajar, antaranya kitab Jam'ul Jawami`, al-Furuq dll.
Syeikh Sa'id al-Yamani (wafat 1354H) - belajar kitab Fath al-Jawad, Syarah ar-Raudh, Minhajut Tholibin, Mughni Muhtaj, dll.

Murid-murid beliau antaranya:
Tuan Guru Haji Musthapa bin Hj Abu Bakar, Pasir Tumboh
Tuan Guru Haji 'Abdul Aziz bin Hj Abu Bakar, Pasir Tumboh
Tuan Guru Hj Husin Rahimi (menantu beliau)
Tuan Guru Hj Isa bin Hj Muhammad, Keplu, Kodiang
Tuan Guru Hj Yahya Joned, Padang Lumat, Kedah
Tuan Guru Hj 'Abdullah Nasution, Tanjung Pauh, Jita Kedah (alhamdulillah admin pernah beberapa kali bertemu dengan beliau)
Tuan Guru Hj Othman bin Hj Yunus, Bukit Besar, Kedah
Tuan Guru Hj Wahid Sg Udang, Melaka
Tuan Guru Hj Ahmad bin Othman, Hutan Palas, Kodiang Kedah (alhamdulillah admin sempat bertemu dan mengutip sedikit ilmu dari beliau)
Tuan Hj Jalaluddin bin Hasyim, Imam Masjid Abu Bakar, Johor Baharu
dan ramai lagi.

Seperti Tuan Guru beliau Tok Kenali, Tuan Guru Hj 'Abdullah Thohir adalah merupakan Syeikh al-Syuyukh kerana melahirkan ramai ulama yang membuka pondok dan berperanan di dalam masyarakat.


Sumber dari Facebook:
Jom Kenali Ulama Kita dan Karya Mereka